Wednesday, September 26, 2012

Filled Under: ,

Isteri Tak Sempat Kongsi Kegembiraan Dengan Suami | Meninggal Di Riba Anak

Seorang anak sempat memangku ibunya selama 20 minit dan mengajar syahadah di saat wanita itu menghembuskan nafas terakhir selepas terlibat kemalangan di Jalan Tunku Abd Rahman, Batu Berendam, di sini, petang kelmarin.
Kejadian berlaku selepas dua beranak itu baru pulang mengambil motosikal roda tiga di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Ayer Keroh, kira-kira jam 5 petang, kelmarin.
Kegembiraan mangsa, Sapiah Md Said, 42, yang memperoleh motosikal berkenaan selepas menunggu kelulusan pinjaman sejak dua tahun tidak dapat dikongsi bersama suami dan anak apabila dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Sapiah dalam perjalanan ke pasar tani di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Jalan Hang Tuah di sini, dengan menunggang Honda EX5 untuk membantu suaminya, Laksemana Salim, 48.
Sementara anaknya, Muhammad Ikram Laksemana, 18, pula menunggang motosikal roda tiga dengan muatan barangan jualan berisi keledek dan ikan keli.
Namun, sebaik tiba di tempat kejadian, Sapiah yang hilang kawalan kemudian terjatuh setelah motosikalnya melanggar belakang motosikal ditunggang anak sulungnya itu.
Akibat kemalangan itu, Sapiah cedera parah di kepala, manakala Muhammad Ikram cedera ringan di tangan selepas motosikalnya terbalik akibat perlanggaran berkenaan.
Ibu tercampak tengah jalan
Muhammad Ikram berkata, ketika menunggang berasingan dari arah Sungai Putat menuju UTC dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum menoleh dan melihat ibunya tercampak di laluan kanan jalan.
“Pada masa sama, motosikal ditunggang ibu merempuh motosikal saya, menyebabkan saya hilang kawalan sebelum terbalik.
“Saya yang tidak mengalami kecederaan serius terus berlari ke arah ibu yang sudah tertiarap di tengah jalan” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Permatang, Klebang, di sini, semalam.
Menurutnya, melihat keadaan ibunya yang parah, dia segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

“Sementara tunggu ambulans sampai, seorang pengguna jalan raya berhenti dan menawarkan pertolonganmenghantar ibu ke hospital tetapi dinasihatkan orang ramai untuk menunggu sahaja ambulans tiba apabila melihat keadaan ibu yang parah.
“Kira-kira 20 minit kemudian, ibu nazak dan menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya selepas saya membisikkan dua kalimah syahadah di telinganya,” katanya.
Muhammad Ikram yang sedang menunggu keputusan permohonan belajar di GiatMara di negeri ini berkata, pembantu perubatan yang tiba kemudian mengesahkan kematian ibunya.
“Saya benar-benar tidak sangka kegembiraan ibu yang baru memperoleh motosikal roda tiga berakhir tragedi namun saya reda dengan pemergiannya,” katanya.
Sempat bersarapan bersama Sementara itu, Laksemana berkata, dia sempat bersarapan pagi bersama isterinya di sebuah kedai sebelum ke UTC untuk berniaga.
“Kira-kira jam 1 petang, isteri pulang ke rumah menaiki kereta kami untuk mengambil anak dari sekolah sebelum ke pejabat Fama untuk mengambil motosikal.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 5.30 petang, saya dihubungi seorang lelaki tidak dikenali yang memaklumkan isteri dan anak terlibat kemalangan sebelum lelaki terbabit datang mengambil saya di UTC dan membawa saya ke tempat kejadian,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Written by

We are Creative Blogger Theme Wavers which provides user friendly, effective and easy to use themes. Each support has free and providing HD support screen casting.

0 comments:

Post a Comment

Jom Ramai-ramai Meriahkan Ruangan Komen Di Belog Tiga Pagi.
Semua Dalam Tiga Pagi Aje?

© 2013 iPRESS. All rights resevered. Designed by Templateism