Friday, January 11, 2013

Filled Under:

Warga kota terus sengsara tanpa bekalan air

Penduduk Pangsapuri PPR Perkasa beratur menunggu giliran untuk mendapatkan bekalan air dari lori tangki Syabas di kawasan letak kereta pangsapuri berkenaan. -


KUALA LUMPUR - Warga kota terus mengeluh berikutan terpaksa berdepan masalah bekalan air sejak hampir dua minggu lepas.

Selain menjejaskan kehidupan harian, mereka menganggap ketiadaan bekalan air bersih membawa kesengsaraan kerana terpaksa mengangkut air setiap hari ke rumah masing-masing.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan mendapati mereka setia menunggu ketibaan lori tangki Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sejak awal pagi demi mendapatkan bekalan air bersih ekoran tiada jadual tetap pengagihan air.

Penduduk, termasuk warga tua yang tinggal di Pangsapuri Cheras 4E, Cheras setinggi lima tingkat, akan berulang-alik membawa bekalan air bersih menaiki tangga manakala penduduk di rumah pangsa Pandan Utama, Ampang setinggi 15 tingkat lebih bertuah kerana mempunyai lif.

Lori air juga dilihat tidak perlu menunggu lama kerana air yang dibawa segera habis dalam masa 15 minit kerana ramai yang membawa banyak bekas untuk menyimpan air bersih.

Antara yang merasa amat terjejas hidupnya ialah warga emas Looi San Mooi, 80, yang terpaksa menggagahkan diri untuk menjinjing baldi berisi air dalam keadaan tercungap-cungap kerana penyakit asma dan jantung yang dihidapinya.

Looi yang tinggal di tingkat empat Pangsapuri Cheras 4E sejak 20 tahun lepas berkata beliau terpaksa mengangkut air setiap hari untuk keperluan utama seperti mandi dan membersihkan diri.

"Saya tinggal seorang diri, tiada siapa yang boleh saya harapkan. Tetapi jiran-jiran banyak membantu mengangkat air jika mereka berjumpa dengan saya di tangga," katanya sambil memberitahu sudah lama beliau tidak membasuh baju demi menjimatkan bekalan air.

Kesusahan itu turut dirasai seorang pesara tentera Osman Mohd Nordin, 60, yang mengangkut air ke rumahnya dalam keadaan sakit lutut.

Osman berkata beliau perlu berulang-alik untuk mengangkut air kerana tiga orang cucu yang berusia antara lima tahun dan sembilan bulan tinggal bersamanya semasa ibu bapa mereka bekerja.

"Kadang-kadang saya terpaksa tunggu lama sebelum lori air tiba. Dalam keadaan sakit pun perlu angkut air kerana banyak urusan harian yang perlu menggunakan air," katanya.

Yap Choi, 68, pula menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya segera menyelesaikan isu air yang melanda kawasan itu sejak 29 Disember lepas.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu teksi berkata Abdul Khalid seharusnya turut padang untuk melihat keadaan sebenar penduduk terutamanya warga emas yang mengangkut air dengan menaiki tangga.

"Ramai yang susah hati dengan ketiadaan air. Saya juga terpaksa berulang-alik ke rumah saudara di Pandan Indah untuk mendapatkan air jika terlepas lori air semasa keluar bekerja," katanya.

Suri rumah, S. Kala, 45, pula berkata keluarganya terpaksa memasak dan membasuh baju dengan bekalan air yang terhad kerana tidak mampu membeli makanan di luar atau menghantar pakaian ke dobi.

Sementara itu, penduduk rumah pangsa Pandan Utama, Paizah Awang, 59, memberitahu Bernama ketiadaan air menyebabkan penduduk berebut-rebut untuk mendapatkan air daripada lori sehingga hampir mencetuskan pergaduhan.

"Sampai bila perlu begini? Kadang-kala saya terpaksa ke rumah anak di Keramat untuk mengambil air kerana tidak mahu berebut apatah lagi dengan jiran-jiran sendiri," katanya.

Peniaga makanan di pasar malam, Amir Meemad, 41, berkata beliau terpaksa menumpang rumah mertuanya di Pandan Indah untuk menyediakan juadah jualan untuk meneruskan perniagaan selain menjamin kebersihan makanan yang disediakan.

"Saya harap isu air dapat diselesaikan segera tanpa campur tangan politik kerana rakyat terseksa apabila ia sudah berlanjutan begitu lama," katanya.

Pasangan suami isteri, Chee Wing Tuck, 71, dan Tan Yoke Lan, 58, berkata krisis air bukan sahaja menganggu urusan seharian tetapi juga menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang melebihi kebiasaan.

"Sejak tiada air, kami terpaksa makan di luar. Setiap hari kami membelanjakan kira-kira RM30. Bayangkan untuk 10 hari air tiada, kami telah membelanjakan RM300 hanya untuk makan yang boleh digunakan untuk keperluan lain," katanya.

Chee juga berharap masalah air dapat diselesaikan sebelum sambutan Tahun Baru Cina kerana ramai anggota keluarga akan berkumpul dan meneruskan tradisi makan besar sehari sebelum perayaan.

"Jika tiada air, bagaimana kami mahu menyediakan juadah untuk makan besar? Harga makanan di restoran mahal pada musim perayaan dan sudah pasti sambutan kami tahun ini hambar jika air tiada," katanya. - Bernama


Written by

We are Creative Blogger Theme Wavers which provides user friendly, effective and easy to use themes. Each support has free and providing HD support screen casting.

0 comments:

Post a Comment

Jom Ramai-ramai Meriahkan Ruangan Komen Di Belog Tiga Pagi.
Semua Dalam Tiga Pagi Aje?

© 2013 iPRESS. All rights resevered. Designed by Templateism